Jil. 1 Bab 8 Pemburu Malam October 1, 2026
Jil. 1 Bab 8 Pemburu Malam October 1, 2026
Kabus kelabu kehitaman semakin tebal, menelan sisa-sisa cahaya bulan yang cuba mengintai dari dada langit.
Tariq mendongak ke atas, mengecilkan matanya, berharap agar dia dapat menembusi tirai toksik itu untuk mengagak kedudukan bulan. Namun, usahanya sia-sia. Di dalam perut Hutan Besi Purba ini, konsep siang dan malam seakan-akan mati. Hutan ini hidup dalam kegelapannya yang tersendiri.
Nafasnya mula tidak teratur. Fikirannya sarat dengan kebimbangan. Berapa lama masa telah berlalu sejak dia menelan Pil Penapis Udara yang pertama? Semasa dia dikejar dan ketakutan tadi, dia langsung kehilangan jejak masa. Lima puluh minit? Atau mungkin sudah hampir satu jam?
Namun, ketakutan yang merantai jiwanya pada awal langkah tadi sudah mula terhakis, digantikan dengan satu rasa yakin yang perlahan-lahan meracuni fikirannya.
Tariq memandang pedang pendek di tangan kanannya. Bilah senjata itu kini dibasahi darah merah kehitaman.
Sepanjang perjalanan meredah runtuhan dan akar besi, Tariq berjaya membunuh dua ekor lagi Serigala Sisik Besi. Kelicikan akalnya mula menampakkan taring. Dia menggunakan kepingan besi buruk untuk membuat bunyi bising, mengumpan raksasa itu satu demi satu masuk ke dalam lorong sempit runtuhan, sebelum membelah perut mereka dengan serangan mengejut. Tiga ketul Teras Raksasa kini tersimpan rapi di dalam ruang cincin simpanan dimensinya, bersama timbunan tulang, daging dan kulit.
Bagi seorang remaja yang tidak pernah berlawan seumur hidupnya, kejayaan itu adalah satu pencapaian yang luar biasa.
“Raksasa di sini tak sekuat yang Tok selalu ceritakan,” gumam Tariq sendirian. Nafasnya dihela lega. Dia membelek darah hanyir yang dilumur pada pakaian dan wajahnya. “Dan helah darah ni memang menjadi.”
Tariq tersenyum sinis. Dia yakin dia telah berjaya menipu ekosistem hutan ini. Dia kini bukan lagi mangsa, dia adalah pemangsa.
Tiba-tiba, tekaknya terasa perit. Paru-parunya seakan-akan digeletek debu panas yang sangat tajam.
Tariq terbatuk kecil. Dia yakin itu adalah petanda amaran. Pil pertama sudah mula hilang kesan. Dia segera menyentuh cincin dimensinya, membayangkan botol kaca tersebut. Sebaik sahaja botol itu muncul di tangan, dia pantas mengeluarkan sebiji Pil Penapis Udara lalu menelannya tanpa air.
Sensasi sejuk yang menyegarkan terus meresap ke dalam dada, melegakan pernafasannya.
Baru sahaja Tariq mahu menyimpan semula botol kaca itu, satu deruan angin yang amat kencang menampar dari atas. Bunyinya seperti layar kapal yang direntap ribut.
Udara di sekeliling Tariq serta-merta menjadi berat.
Tariq mendongak pantas. Matanya terbeliak luas. Mulutnya ternganga.
Satu susuk tubuh gergasi mendarat di atas bumbung konkrit runtuhan berhampirannya. Impak pendaratan makhluk itu menyebabkan kerikil batu dan habuk besi gugur dari bumbung. Makhluk itu bersayap lebar persis kelawar, namun tubuhnya dilitupi kulit berbatu yang bergerutu dan keras, menyerupai patung gargoyle yang hidup. Hidungnya bergerak-gerak, sedang mengesan sesuatu. Sepasang mata berwarna kuning menyala merenung tajam ke bawah, tepat ke arah Tariq, ibarat menatap hidangan yang sudah terhidang.
Kini Tariq tersedar. Bau hamis darah raksasa yang menyaluti tubuh—helah yang disangkanya genius—kini memakan diri. Daripada menjadi perisai yang mengelirukan musuh, ia telah bertindak sebagai tarikan kepada pemangsa yang jauh lebih ganas.
“A-a-aku tersilap?”
Jika Tariq sempat meneliti keseluruhan nota dan laporan Zumar di dalam cincin itu, dia akan mengenali makhluk di hadapannya ini. Gargoyle Kristal Berdarah. Raksasa tahap tinggi yang mendominasi ruang udara sektor tengah Hutan Besi Purba. Bahkan sepasukan Pengawal Empayar bersenjata api pun belum tentu mampu terselamat jika bertembung dengannya.
Makhluk itu mendepakan sayapnya dan melepaskan satu jeritan nyaring yang menyakitkan telinga.
“Lari!” Sekali lagi minda Tariq menjerit memberikan amaran. Rasa yakinnya sebentar tadi hancur berkecai serta-merta. Dia memusingkan badan dan melontarkan tubuhnya ke depan, berlari sekuat hati.
SWOOSH!
Gargoyle itu meluru turun umpama peluru berpandu. Cakar batunya menebas udara, menghentam tanah di tempat Tariq berdiri sebentar tadi. Tempat itu bergegar. Kesan cakaran sedalam satu jengkal terbentuk pada tanah tersebut.
Tariq tidak menoleh ke belakang. Dia meredah masuk ke dalam celah-celah runtuhan bangunan purba. Runtuhan konkrit adalah satu-satunya pelindungnya. Jika dia berlari di kawasan terbuka, makhluk yang boleh terbang itu akan merobek tubuhnya dari langit.
Lorong demi lorong diredah. Gelap, lembap, dan berdebu.
Namun, Gargoyle itu tidak berputus asa. Makhluk itu mengejar dari atas. Bunyi bumbung diruntuhkan, dan dinding konkrit dirempuh bergema di setiap langkah Tariq. Raksasa itu seolah-olah sedang bermain-main, meruntuhkan struktur bangunan sedikit demi sedikit untuk mendedahkan mangsanya.
Gila! Aku tak mungkin selamat kali ini, jerit Tariq di dalam hati. Jantungnya berdegup laju, tubuhnya terasa tegang.
Kakinya yang keletihan membawanya keluar dari lorong sempit, merempuh masuk ke dalam sebuah struktur luas yang menyerupai kubah purba. Separuh bumbung kubah itu sudah lama runtuh, mendedahkan langit malam berdebu. Di tengah-tengah lantai kubah itu, terdapat sebuah lubang besar yang gelap gelita, seolah-olah satu lohong yang menuju ke dasar neraka.
Belum sempat Tariq mencari jalan keluar yang lain, bumbung konkrit di bahagian kubah yang masih utuh berderai hancur dirempuh dari luar.
Konkrit berhamburan jatuh bagaikan hujan.
Dengan kelajuan yang tidak sempat diproses oleh mata manusia, Gargoyle Kristal Berdarah itu terjun menjunam ke arah Tariq. Cakar batunya yang tajam dan besar menyambar tepat pada lengan kiri Tariq.
“ARGHH!” Tariq menjerit kesakitan. Tiga bilah cakar itu menembusi kulit dan isi lengannya. Darah pekat menyembur keluar.
Tubuh kurus Tariq disentak dengan kuat, ditarik naik ke udara. Tariq meronta-ronta di dalam cengkaman maut itu. Dengan tangan kanannya yang masih menggenggam pedang, dia melibas-libas bilah senjata itu ke arah cakar raksasa tersebut.
TANG! TANG!
Libasannya yang tidak tepat itu sekadar menghasilkan percikan api. Kulit berbatu Gargoyle itu langsung tidak terjejas. Raksasa itu ketawa mengejek, bersedia untuk menerbangkan Tariq jauh ke sarangnya.
Namun, ketika Tariq ditarik naik dengan pantas melepasi tiang utama kubah, kasut kanannya termasuk ke celah jaringan besi tebal dan dawai yang berselirat pada tiang konkrit tersebut. Separuh kakinya tersangkut kemas.
Momentum tarikan Gargoyle yang sangat kuat ke arah atas, kini bertembung secara mengejut dengan rintangan fizikal Tariq yang tersangkut pada struktur bangunan dari arah bawah.
Kesan tarikan dua arah itu membuatkan lengan kiri Tariq terasa hampir tercabut dari bahunya. Tariq melolong menahan kesakitan yang tidak tertanggung.
KRAK!
Namun, mujurlah bukan lengan Tariq yang tercabut, sebaliknya tiang konkrit penyokong kubah itu. Tiang purba yang sudah mereput itu tidak mampu menampung daya tarikan yang amat kuat oleh raksasa gergasi itu.
Keretakan menjalar laju ke seluruh permukaan kubah. Bunyi besi patah dan konkrit hancur bergema memekakkan telinga.
Gargoyle itu membulatkan matanya. Ia melepaskan Tariq, cuba untuk menyelamatkan diri, namun sudah terlambat.
Keseluruhan struktur separuh kubah itu mula runtuh. Beberapa bongkahan konkrit gergasi mendahului jatuh, menghentam lantai kubah dengan kekuatan yang amat kuat.
BAM! BAM!
Lantai konkrit purba itu tidak mampu menahan impak hentakan tersebut. Permukaannya retak seribu sebelum pecah dan hancur berkecai, mendedahkan sebuah lohong gelap yang ternganga luas terus ke perut bumi.
Pada detik yang sama, baki runtuhan bumbung menghempap tubuh Gargoyle Kristal Berdarah tersebut di pertengahan udara. Cengkaman raksasa itu pada lengan Tariq terlepas serta-merta akibat hempapan itu.
Kedua-duanya—Tariq dan raksasa itu—ditarik oleh graviti. Mereka jatuh menjunam bersama sisa runtuhan, terus ke dalam lohong lantai.
Tariq tidak mampu berbuat apa-apa. Tubuhnya terasa seperti ditarik laju, jatuh ke dasar yang tidak diketahui. Angin menampar keras wajahnya. Rasa sakit yang teramat pada lengan kirinya membuatkan pandangannya memudar.
Entah selepas beberapa detik, tubuhnya menghempas permukaan air yang teramat sejuk dengan daya hentakan yang memedihkan.
SPLASH!
Air berkocak deras. Kegelapan mutlak menelan tubuh Tariq, menariknya jauh ke dasar tasik bawah tanah yang sepi.